Saturday, June 4, 2011

MSSM MENDOKONG DASAR 1MURID 1SUKAN KE ARAH 1MALAYSIA

Kota Bharu – Dasar 1Murid 1Sukan yang diperkenalkan oleh pihak Kementerian Pelajaran Malaysia telah mula membuahkan hasil apabila Kejohanan Bola Keranjang Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) 2011 mencatatkan sejarah penyertaan tertinggi pemain bukan Cina sejak ia mula diperkenalkan. Kejohanan yang bermula pada 31 Mei sehingga 5 Jun 2011 bertempat di SJK(C) Chung Hwa, SJK(C) Chung Cheng dan SJK(C) Peir Chih, Kota Bharu telah menarik minat rakyat Kelantan dan peminat sukan bola keranjang daripada pelbagai kaum.

Seramai 18 orang pemain bukan kaum Cina mengambil bahagian dalam kejohanan kali ini berbanding 5 orang pada tahun 2010 dan 2 orang pada tahun 2009. Kita menyaksikan pemain berbilang kaum membarisi pasukan Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan, Kedah, Sabah, Sarawak dan Labuan. Seramai 3 orang murid Sekolah Menengah Agama Persekutuan Labu telah mewakili pasukan Negeri Sembilan. Peningkatan penyertaan ini membuktikan dasar 1Murid 1Sukan yang menekankan kepada aspek integrasi kaum dalam sukan mula berhasil. Usaha memperkenalkan sukan bola keranjang kepada kaum lain telah giat dijalankan dengan menggalakkan lebih ramai pemain dan jurulatih Melayu, India dan Bumiputera terlibat dengan sukan tersebut.

Pasukan perempuan bawah 12 tahun tuan rumah mempunyai keunikan tersendiri apabila mempunyai seorang pemain Melayu dan seorang pemain India. Adik Sharifah Nur Shasha daripada SJK(C) Khay Boon, Kota Bharu mula meminati sukan bola keranjang sejak mula belajar di tahun satu. Beliau mengatakan bahawa kerjasama sepasukan dan saling memahami antara pemain berbilang kaum merupakan kunci kejayaan pasukannya yang telah berjaya memasuki pusingan kedua.

Adik Tharsinie A/P Karunanithi murid Tahun 6 SJK(C) Chung Cheng, Kota Bharu menjadi satu-satunya pemain perempuan berketurunan India. Apa yang lebih menarik ialah beliau merupakan salah seorang pemain perempuan bawah 12 tahun yang paling tinggi. Manakala adik Sunildevin Prasanna Kumar daripada pasukan Labuan merupakan pemain lincah yang paling rendah dalam kategori lelaki bawah 12 tahun dengan ketinggian 137cm.

Selaras dengan hasrat YAB Menteri Pelajaran yang mahu menjadikan sukan sebagai salah satu alat perpaduan kaum di Malaysia maka Majlis Sukan Sekolah Malaysia telah mengambil langkah tepat dengan menyediakan peluang interaksi dan integrasi kaum melalui pertandingan sukan di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan

No comments:

Post a Comment